Tuesday 26 February 2013

Offspring season...


Syukur Alhamdullilah pada bulan Febuari ini 3 pairs induk LoveBird iaitu dua induk Fischeri dan satu induk Masked telah bertelur dan mengeram. Menjadi kepuasan apabila induk yang disayang dan dipelihara sejak kecil telah menjadi induk buat pertama kalinya dalam kitaran hidup mereka.

Berkat kesabaran terhadap minat ini akhirnya terbalas apabila membuka nestbox mereka dan melihat telur-telur mereka yang kecil dan putih sedang dieram oleh induk betina. Membiak LoveBird bukan mudah, ia memerlukan kesabaran yang tinggi. Pernah seorang kawan yang memakan masa 2 tahun untuk membiakan LoveBird dan  beliau give up kerana terlalu mengharapkan LoveBird beliau membiak. Alhamdullilah saya hanya mengambil masa dalam setahun untuk membiak LoveBird setelah beberapa kali gagal.














Alhamdullilah induk pertama Masked/Personatus saya telah bertelur pada 25 Feb lepas. Induk betina adalah  DD Pastel Mauve yang saya pasangkan dengan induk jantan Wildgreen/Collared. Pair ini saya satukan pada awal bulan Januari lepas dengan cara saya lepaskan mereka dengan 2 ekor lagi induk matang Masked/Personatus didalam simpanan saya untuk membolehkan mereka memilih sendiri pasangan mereka dan hasilnya pasangan ini telah mengambil masa untuk menjadi bonding pair hanya dalam masa 2 hari sahaja. 

Satu sifat LoveBird dalam proses pembiakan mereka ialah mereka akan cepat membiak jika pasangan itu adalah pasangan pilihan mereka sendiri berbanding pasangan yang ditentukan oleh pemilik mereka. Ketiga-tiga pair ini adalah pair yang telah bonding dengan cara semulajadi tanpa ditentukan oleh saya dan memang terbukti mereka hanya mengambil masa tidak lebih 2 bulan untuk mula bertelur.







Dua pasang induk LoveBird saya daripada mutasi Fischery juga telah mula mengeram dalam jumlah telur 5 biji setiap pasangan dan dijangka akan mula menetas pada awal bulan Mac nanti. Kedua-dua induk ini saya lepaskan didalam aviary yang berukuran 4x5x6 bersama-sama dengan satu lagi pasangan induk Blue Fischery yang baru sahaja minggu ini menetaskan 4 ekor anak.

Induk pertama yang bertelur adalah induk Double Factor Yellow yang berpasangan dengan Dark Green dan satu lagi pasangan ialah Double Factor Yellow yang berpasangan dengan  Sable Blue Pastel.

Rasa tak sabar untuk menantikan anak-anak mereka yang bakal menetas nanti dan induk-induk lain yang berada dalam koleksi saya akan mula bertelur pada masa terdekat ini.

Sunday 17 February 2013

Selective...

Sejak adanya blog ini saya sentiasa mendapat panggilan daripada kawan-kawan dari FACEBOOK mahupun mereka yang membaca blog My Birds Region ini bertanyakan tentang anak-anak Lovebird yang bakal dijual. Maaf saya maklumkan bahawa stok anak burung Lovebird saya adalah terhad sebab Love bird bukanlah sejenis burung yang sesubur burung Budgies atau Cockcateil. 

Oleh kerana jumlah anak Love bird yang induk-induk saya hasilkan adalah terhad  maka saya terpaksa membuat pilihan kepada siapa yang akan saya pindah milik bergantung kepada beberapa perkara. Minat sesorang terhadap Lovebird akan saya ambil kira sebagai faktor utama kerana tanpa minat yang mendalam anda tidak akan menjaga Lovebird yang saya pindah milik dengan sebaiknya. Bagi saya, saya mahu tuan baru kepada anak-anak Lovebird saya adalah mereka yang lebih mampu dan sayang melebihi apa yang saya berikan kepada mereka sewaktu mereka berada dibawah jagaan saya.

Sedih saya melihat beberapa nasib anak-anak Lovebird saya termasuklah induk matang Lutino yang pernah saya pindah milik  bertukar tangan dari satu tuan ke satu tuan yang lain seperti bahan dagangan yang tiada nilai. Nilai seekor Lovebird bukan pada nilai berapa RM yang mampu dibayar tetapi ia lebih daripada itu. Sedih bila melihat anak-anak Lovebird saya dijadikan bahan pelaburan yang tidak bijak oleh pembeli yang selama ini saya ingatkan beliau adalah peminat Lovebird tetapi saya silap. Saya dah nekad saya hanya menjual Lovebird malah burung-burung lain yang mungkin saya berjaya breed nanti hanya kepada mereka yang betul-betul menghargai nilai mereka. Jika anda mahu berniaga burung saya nasihatkan anda breed sendiri burung anda dan niagalah semahu hati anda tapi jangan zalimi anak-anak burung Lovebird saya yang sepatutnya berada pada tangan seseorang yang betul-betul menyayangi mereka.

Ada mereka yang menawarkan harga yang tinggi tetapi bagi saya wang bukan segalanya dan saya bukan bergantung pada hasil menjual anak Lovebird sebagai punca rezeki utama saya. Biak baka Lovebird adalah sekadar hobi dan memelihara Lovebird adalah satu kegairahan bagi saya dan bukan memelihara Lovebird mahupun parrot lain sebagai punca pendapatan saya. Biasanya saya lebih senagn menjual Lovebird malah burung-burung lain kepada mereka yang saya kenali kerana mudah bagi saya menilai setakat mana minat mereka terhadap Lovebird yang saya biakan. Saya juga lagi senang jika mereka yang minat datang sendiri kekediaman saya melihat dan menilai sendiri burung yang mereka minati berbanding menjual secara online kerana bagi saya menjual secara online banyak risiko dan masalah dikemudian hari. Urusniaga secara terus lagi memuaskan hati dua-dua belah pihak.

Anda boleh bertanya apa sahaja kepada saya tentang minat ini dan Alhamdullilah sampai hari ini saya tidak pernah tidak melayan panggilan dan SMS daripada sesiapapun yang bertanyakan soalan tentang apa-apa yang berkaitan dengan minat ini. Kita perlu selective dalam membuat urusniaga terutama berkaitan dengan benda hidup yang risiko mati dan sakit adalah tinggi apabila bertukar tangan hak milik. Saya harap sesiapa yang membaca Blog ini faham maksud saya dan jika anda betul-betul berminat Insyaallah giliran anda pasti akan tiba :)

Sunday 3 February 2013

My Red Lory Diet...



Assalamualaikum,


Selalu orang tanya saya apa makanan yang saya berikan kepada Red Lory saya iaitu Nick dan Momo. So hari ini saya nak beritahu apakah diet yang saya berikan kepada mereka setiap hari.

mix fresh fruits

Oleh kerana diet spesis Lory adalah merupakan buah-buahan dan cecair seperti madu bunga atau nektar bunga-bunga hutan di habitat liar mereka so saya cuba sebaik mungkin mengekalkan diet asli mereka kepada  Nick dan Momo. Apa yang saya buat adalah saya sediakan beberapa jenis buah-buahan segar seperti epal merah, anggur, plum, pisang atau apa-apa jenis buah-buahan segar yang manis (jangan gunakan buah-buahan yang tinggi asidnya seperti citrus dan nenas) sebagai diet utama mereka. Buah-buahn ini sama ada saya sediakan secara fresh begitu sahaja atau pun saya potong kecil-kecil dan kisar dengan beberapa jenis makanan lain lagi seperti madu, jus buah-buahan seperti anggur, strawberi, molus bersama dengan fresh milk dan roti segar (biasanya saya guna gardenia).

Buah-buah tadi saya satukan semuanya dan kisar menjadi halus seperti yogurt dan saya simpan didalam botol untuk stok sehingga 2 minggu atau selagi bahan tadi masih lagi elok dan tidak busuk (disimpan didalam peti ais). Saya akan beri Nick dan Momo makan makanan yang saya kisar ini dalam kuantiti yang secukupnya dan suhu yang diberikan haruslah pada suhu bilik iaitu saya biarkan makanan ni di luar pada suhu bilik atau saya campurkan sedikit air panas untuk menghilangkan suhu sejuk makanan ini (Lory tak akan makan makanan yg sejuk dan boleh menyebabkan kematian).






Oleh kerana Lory makan makanan berbentuk cecair, saya juga kadang memberikan mereka minum air tebu fresh (bukan berais). Minuman jus dan yogurt buah-buahan seperti gambar di atas juga sesuai diberikan kepada mereka. Nampak makanan yang saya berikan agak tinggi kosnya tetapi anda silap kalau beranggapan begitu kerana sebotol atau sekotak Yogurt Marigold Drink boleh jimat untuk 3 hari jika diberikan untuk sepasang Lory atau 5 hari bagi seekor Lory. Yogurt ini juga bagus untuk perut Lory sebab mempunyai kultur hidup yang bagus untuk bakteria baik didalam perut mereka seperti manusia. Vitegen juga saya berikan kepada mereka sekali sekala. Minuman Yogurt ini juga boleh diletak roti putih bagi menambahkan kualiti diet mereka.


Dalam diet Nick dan Momo saya cuba untuk pelbagaikan untuk mengelakkan mereka bosan. Nestum bayi juga saya berikan kepada mereka dan yang laing bagus adalah Nestle Cerelec Gandum & Madu. Nestum adalah pilihan mereka yang paling utama mengalahkan diet-diet lain setakat ini dan tak pernah lagi setakat ini Nestum yang diberikan kepada mereka berbaki atau membazir. Nestum ini kita hendaklah bancuh cair  dengan air masak atau fresh milk seperti susu tetapi jangan terlalu cair, biar ia seakan-akan puding atau seakan-akan hot chocolate. Saya sarangkan anda pemilik Lory mencuba Nestum ini sebagai diet mereka dan saya yakin anda tak akan kecewa melihat selera dan pertambahan kesihatan mereka. Jangan bimbang mereka menjadi gemuk kerana Lory saya tidak obes dengan diet ini malah mereka makin sihat, cergas, active dan saiz badan mereka sangat ideal dan yang paling penting bulu mereka makin sihat.


Oleh kerana bijirin bukan menjadi diet utama Lory, saya tetap menyediakan kuaci untuk mereka. Tetapi kuaci atau bijirin lain bukanlah menjadi pilihan utama mereka. satu mangkuk kuaci biasanya memakan masa lebih 3 hari untuk dihabiskan oleh mereka. Kuaci hanya menjadi pilihan mereka dikala ketiadaan makanan lain atau sekadar makanan ringan bagi mereka.

Ramai orang mengeluh dengan diet Lory yang kononnya rumit dan cerewet. Bagi saya hanya satu sahaja , kalau minat mendalam terhadap spesis Lory, diet mereka bukanlah menjadi halangan untuk memelihara mereka. Jangan kedekut untuk mengeluarkan wang untuk menyediakan diet yang baik untuk spesis Lory ini. Jika anda merasa "mahal" untuk memyediakan diet mereka saya sarangkan anda peliharalah ayam kampung ataupun itik telur sahaja kerana spesis ayam dan itik cukup hanya makan sisa-sisa makanan anda tetapi tidak bagi spesis Lory malah apa-apa spesis Kakaktua sekali pun yang memerlukan diet khas dan bagus untuk kesihatan mereka. Percayalah jika Lory anda sihat, cergas dan pada tahap yang optimum anda akan berpuas hati dengan mereka bila mereka berkicau dengan galaknya. Anda kena ingat "EXCLUSIVE PETFOR ELITE PEOPLE" (pinjam kata-kata Kak Reen Kittunkatz Bengal http://www.yeng96.com/ ). So saya harap perkongsian yang tidak seberapa ini akan sedikit sebanyak membantu peminat-peminat spesis Lory untuk menyediakan diet Lory masing-masing.